|
- Laporan Berita Harian
BAGAIKAN konsert sayembara yang membangkitkan semangat jiwa muda.
Apabila kumpulan lagu-lagu puitis, Umbara, muncul menggegarkan dewan Sekolah Menengah Bedok View dalam segmen pembuka tirai
pelancaran Kelab Obor, pelajar-pelajar yang hadir bersorak gembira.
Dengan berbekalkan kaca mata hitamnya, vokalis utama kumpulan tersebut, CG Karmin, yang merupakan seorang guru Bahasa Melayu,
menarik suaranya dengan irama blues yang mempesonakan.
Tidak hairan jika hadirin tersentak daripada lamunan dek mata dibuai rasa ngantuk di pagi hari. Kemudian, hadirin dihiburkan
dengan persembahan lagu yang turut membakar jiwa muda iaitu Diari Kecil Ini.
Ia didendangkan dengan penuh bertenaga oleh trio dari Sekolah Menengah Bedok View, iaitu Hazwan Moshin, 13 tahun; Muhammad
Aidil Adnan, 15 tahun dan; Muhammad Shafiq Sulaiman, 17 tahun.
Di kalangan mereka bertiga, si 'comel' Hazwan Moshin adalah yang paling mencuit perasaan ramai kerana tubuhnya yang kecil
dan ketinggiannya.
Sedang Muhammad Aidil dan Muhammad Shafiq tinggi-menggalah, Hazwan yang tampak seperti masih di bangku sekolah rendah tidak
kekok digandingkan dengan pelajar lebih dewasa.
Dia, bahkan, bersahaja dan begitu manja dengan pengasuhnya, CG Karmin.
|